Laman Utama   Bantuan  
- ISO 9001:2000 QMS -    
     

PROSEDUR KUALITI

PK/BL/06 - PROSEDUR PENGENDALIAN PENILAIAN SUMATIF

   
Pindaan : 1
Tarikh Kuatkuasa : 15-07-2011
Objektif Prosedur : Prosedur ini menggariskan langkah-langkah mengendalikan penilaian sumatif teori, praklinikal/klinikal, praktikal dan OSPE (Objective Structured Practical Examination) untuk semua disiplin peringkat diploma secara cekap, terkawal dan sulit bagi memastikan ianya mengikut jadual dan garispanduan yang telah ditetapkan.
Skop : Prosedur ini digunapakai semasa mengendalikan penilaian sumatif teori, praklinikal/klinikal, praktikal dan OSPE/OSCE (Objective Structured Practical/ Clinical Examination) bagi semua disiplin peringkat diploma mengikut struktur penilaian kurikulum masing-masing di Pusat Pergigian Kanak-Kanak & Kolej Latihan Pergigian Malaysia (PPKK & KLPM).
 

TUGAS / TANGGUNGJAWAB

A. PENILAIAN TEORI

 

1.0 Perlantikan Ketua Pengawas Dan Pengawas

 

1.1 Setelah merujuk takwim peperiksaan, Ketua Penolong Pengarah (Latihan) (KPPL) hendaklah berbincang dengan Ketua Program untuk melantik Ketua Pengawas (KP) dan Pengawas (P) bagi melaksanakan peperiksaan teori.

 

1.1.1 KPPL hendaklah mengemukakan cadangan KP dan P kepada Timbalan Pengarah Latihan (TPL) untuk tujuan lantikan.

1.1.2 Setelah mengenalpasti pegawai-pegawai yang terlibat, KPPL hendaklah menyediakan jadual lantikan nama-nama pegawai tersebut berserta tugas yang telah ditetapkan dan mengedarkannya kepada mereka yang berkaitan 1 bulan sebelum tarikh peperiksaan.

1.1.3 Satu salinan hendaklah diberi kepada Setiausaha Peperiksaan (SUP) institusi latihan untuk membuat persediaan peperiksaan teori mengikut jadual yang telah ditetapkan.

 

2.0 Persediaan Dewan Peperiksaan

2.1 Berpandukan kepada dewan peperiksaan yang telah ditetapkan, KP dan P hendaklah memastikan penyusunan meja dan kerusi mengikut bilangan calon dan jarak yang telah ditetapkan (sekurang-kurangnya 1.35m - 1.5m di antara pusat meja) 1 hari sebelum peperiksaan bermula.

2.2 Setelah selesai menyusun meja dan kerusi, KP dan P hendaklah melekatkan nombor matriks calon di setiap meja pada sudut atas sebelah kanan.

2.2.1 KP hendaklah mengambil nombor matriks dan senarai calon-calon peperiksaan daripada SUP.

2.2.2 KP hendaklah juga memastikan dewan peperiksaan berada dalam keadaan yang bersih, sistem siaraya, hawa dingin/kipas angin, jam dinding berfungsi dengan baik dan tiada gangguan semasa peperiksaan dijalankan.

 

2.3 Pada masa yang sama, KP hendaklah menyediakan peralatan-peralatan lain seperti whiteboard markers, staplers, gunting, benang dan sebagainya untuk memudahkan pelaksanaan peperiksaan.

 

3.0 Persediaan Peperiksaan Teori

3.1 Setelah menerima salinan perlantikan KP dan P peperiksaan teori, SUP hendaklah menyediakan jadual peperiksaan mengikut kertas/kod kursus, borang kehadiran calon, borang laporan KP, borang pengesahan memusnahkan kertas soalan dan borang tuntutan sekiranya berkaitan.

3.1.1 SUP hendaklah memasukkan semua borang-borang tersebut ke dalam satu sampul surat dan menyerahkannya kepada KP pada hari peperiksaan.

 

4.0 Mendapatkan Kertas Soalan, Kertas Jawapan Dan Borang-Borang Berkaitan

4.1 Pada hari peperiksaan, KP hendaklah mendapatkan kertas soalan, kertas jawapan dan borang-borang yang berkaitan daripada SUP dan memastikan kertas soalan yang diterima adalah betul dan bahan-bahan lain lengkap dan mencukupi.

4.1.1 SUP hendaklah mengeluarkan kertas soalan sesi pagi/petang/malam dari bilik kebal pada waktu pagi/petang/malam dan menyerahkannya kepada KP.

4.1.1.1 Setelah memastikan ketepatan kertas soalan dan bilangan yang mencukupi, KP dan Pengawas yang dilantik hendaklah membawa kertas soalan dan peralatan-peralatan lain ke dewan peperiksaan.

 

5.0 Taklimat Peperiksaan Kepada Pengawas

5.1 Sebelum calon dibenarkan masuk ke dewan peperiksaan, KP hendaklah memberi taklimat kepada pengawas-pengawas berkaitan dengan peranan dan posisi mereka sebelum, semasa dan selepas peperiksaan agar peperiksaan dapat berjalan lancar.

5.1.1 Semasa sesi peperiksaan sedang berjalan, P hendaklah mengawasi posisi masing-masing sepanjang masa manakala KP hendaklah mengawas di bahagian hadapan dewan peperiksaan.

 

6.0 Pengedaran Borang OMR/Buku Jawapan

6.1 Setelah taklimat diberikan, KP bersama-sama dengan pengawas yang lain hendaklah mengedarkan borang OMR di meja calon sekiranya peperiksaan melibatkan soalan MCQ atau mengedarkan buku jawapan sekiranya peperiksaan melibatkan soalan MEQ.

6.1.1 KP dan P hendaklah memastikan semua borang OMR atau buku jawapan telah tersedia di atas setiap meja calon sebelum membenarkan calon memasuki dewan peperiksaan.

 

7.0 Membenarkan Calon Memasuki Dewan Peperiksaan

7.1 Apabila semua borang OMR/buku jawapan selesai diedarkan, KP hendaklah membenarkan calon memasuki dewan peperiksaan 30 minit sebelum peperiksaan bermula.

7.1.1 KP dan P hendaklah memeriksa calon-calon yang masuk ke dalam dewan peperiksaan untuk memastikan calon tidak membawa masuk bahan-bahan yang ditegah seperti kertas, nota, telefon dan sebagainya yang boleh menjurus berlakunya penyelewengan.

 

8.0 Taklimat Peperiksaan Kepada Calon

8.1 Setelah semua calon duduk di tempat yang telah ditetapkan, KP hendaklah memberi penerangan berkenaan peraturan dan larangan di bilik peperiksaan serta meminta calon mematuhi semua arahan yang diberi agar peperiksaan dapat berjalan dengan lancar.

8.1.1 KP dan P hendaklah melaksanakan peperiksaan teori dengan merujuk kepada Garis Panduan Melaksanakan Peperiksaan Teori dalam buku Garis Panduan Pengawasan Peperiksaan Teori, Unit Peperiksaan, PPKK & KLPM.

 

9.0 Arahan Kepada Calon Untuk Meninggalkan Dewan Peperiksaan

9.1 Apabila tamat peperiksaan, KP hendaklah mengarahkan calon meninggalkan dewan peperiksaan dan memaklumkan tentang masa untuk calon kembali semula ke dalam dewan bagi peperiksaan berikutnya (jika ada).

 

10.0 Pengumpulan Dan Pembungkusan Borang OMR, Buku Jawapan Dan Buku Soalan SEQ/MEQ

10.1 Setelah semua calon meninggalkan dewan peperiksaan, KP dan P hendaklah mengumpul dan membungkus borang OMR, buku jawapan dan buku soalan SEQ/MEQ dengan mematuhi pengurusan skrip jawapan calon dan menyerahkannya kepada SUP untuk disimpan di bilik kebal sehinggalah sesi pemeriksaan berpusat diadakan.

 

11.0 Mengemas Bilik Peperiksaan Selepas Digunakan

11.1 Setelah selesai peperiksaan teori, KP hendaklah memastikan semua peralatan dipulangkan di tempat asal, kerusi dan meja disusun semula mengikut keadaan asal dan bilik tersebut hendaklah bersih dan kemas.

 

12.0 Peperiksaan Ulangan Untuk Calon Yang Gagal

12.1 Setelah keputusan peperiksaan diumumkan jika didapati ada calon yang gagal dan layak menduduki peperiksaan ulangan, prosedur pengendaliannya hendaklah berdasarkan kepada prosedur-prosedur yang tersebut di atas.

 

B. PENILAIAN PRAKLINIKAL/KLINIKAL (KEJURURAWATAN PERGIGIAN)

1.0 Lantikan Pegawai Pemeriksa, Pembantu dan Penjaga Masa

1.1 Setelah merujuk takwim peperiksaan, KPPL hendaklah berbincang dengan Ketua Program untuk melantik pemeriksa, pembantu pemeriksa dan penjaga masa untuk melaksanakan peperiksaan klinikal/praktikal.

1.1.1 KPPL hendaklah mengemukakan cadangan KP dan P kepada TPL untuk tujuan lantikan.

1.1.2 Setelah mengenalpasti pegawai-pegawai yang terlibat, KPPL hendaklah menyediakan jadual lantikan nama-nama pegawai tersebut berserta tugas yang telah ditetapkan dan mengedarkannya kepada mereka yang berkaitan dan satu salinan diberi kepada SUP untuk membuat persediaan peperiksaan klinikal/praktikal .

 

2.0 Menyediakan Senarai Nama Calon Peperiksaan Klinikal/Praktikal

2.1 Pengajar Penyelaras (PP) hendaklah menyediakan senarai nama calon mengikut tarikh dan bilangan hari peperiksaan klinikal/praktikal yang telah ditetapkan.

2.1.1 Setelah senarai calon disediakan, PP hendaklah memaklumkan kepada semua calon berkenaan dengan tarikh dan hari peperiksaan klinikal/ praktikal yang telah ditetapkan dan mereka dikehendaki menandatangani senarai tersebut untuk memastikan mereka telah dimaklumi dan bersedia untuk menduduki peperiksaan.

2.1.2 Senarai nama yang telah ditandatangani diserahkan kepada SUP untuk tindakan seterusnya.

 

3.0 Menyediakan Format Peperiksaan Praktikal

3.1 Setelah menerima senarai nama calon mengikut tarikh dan bilangan hari yang telah ditetapkan, SUP hendaklah menyediakan format-format pemarkahan peperiksaan klinikal/praktikal mengikut kes atau prosedur teras yang terdapat dalam buku rekod praktis atau buku log dan yang telah ditentukan dalam kurikulum.

3.1.1 Format-format pemarkahan peperiksaan klinikal/praktikal hendaklah dibuat salinan mengikut bilangan pemeriksa yang dilantik.

 

4.0 Memberi Taklimat Berkenaan Dengan Perjalanan Penilaian Klinikal/ Praktikal

4.1 SUP hendaklah memberi taklimat berkenaan dengan perjalanan peperiksaan klinikal/praktikal kepada calon sebelum hari peperiksaan supaya calon dapat melaksanakan arahan-arahan dan prosedur-prosedur yang dikehendaki serta mematuhi garis panduan pengurusan peperiksaan untuk memastikan peperiksaan dapat berjalan lancar.

4.1.1 Taklimat yang diberi merangkumi perkara-perkara yang perlu dilaksanakan oleh calon seperti berikut:

a. Dapatkan persetujuan daripada salah seorang pemeriksa terhadap kes yang hendak dilakukan. Sekiranya tidak dipersetujui kes tersebut perlu ditukar dengan kes yang lebih sesuai.

b. Laporkan kepada penjaga masa setiap kali hendak memulakan sesuatu prosedur atau telah selesai melakukannya supaya penjaga masa dapat mencatit masa yang berkaitan dalam borang pengambilan masa dan seterusnya dapat mengira masa yang diambil untuk menyiapkan sesuatu prosedur kerja.

c. Pastikan setiap prosedur dalam penilaian diperiksa oleh semua pemeriksa yang dilantik. Prosedur diluar skop penilaian hendaklah diperiksa oleh seorang pemeriksa sahaja.

 

5.0 Penyediaan Fail Pemeriksa Dan Penjaga Masa

5.1 SUP hendaklah menyediakan fail untuk pemeriksa dan penjaga masa serta memastikan fail tersebut lengkap dengan format-format dan borang-borang yang berkaitan mengikut bilangan calon dan hari peperiksaan.

5.1.1 Pada hari pertama peperiksaan, fail pemeriksa perlulah dilengkapi dengan format permarkahan hari tersebut, borang akuan sumpah, borang laporan pemeriksa dan borang tuntutan sekiranya berkaitan. Pada hari berikut dan seterusnya hanya perlu masukkan format permarkahan yang telah disediakan.

5.1.2 Bagi fail penjaga masa perlulah disertakan borang mencatat masa dan senarai kehadiran calon mengikut tarikh dan hari peperiksaan yang telah ditetapkan.

 

6.0 Menempah Makanan Dan Minuman Untuk Pemeriksa, Pembantu Pemeriksa Dan Penjaga Masa

6.1 SUP hendaklah menempah makanan dan minuman untuk pemeriksa, pembantu pemeriksa dan penjaga masa dengan mengisi borang tempahan dan menyerahkannya kepada TPL untuk tindakan seterusnya.

 

7.0 Menyerahkan Fail Kepada Pemeriksa Dan Penjaga Masa

7.1 SUP hendaklah menyerahkan fail pemeriksa dan fail penjaga masa ditempat di mana peperiksaan akan dilaksanakan sama ada di TPO atau bilik rawatan.

7.1.1 Penjaga masa dan pembantu pemeriksa hendaklah memastikan fail tersebut mengandungi format permarkahan yang betul dan borang yang mencukupi.

 

8.0 Membuat Pengukuhan Berkenaan Dengan Perjalanan Peperiksaan

8.1 SUP/Penjaga masa hendaklah membuat pengukuhan kepada calon berkenaan dengan arahan-arahan dan prosedur-prosedur yang perlu dilakukan supaya peperiksaan dapat berjalan lancar.

8.1.1 Selepas sesi pengukuhan selama lebih kurang 10 minit, calon dikehendaki menandatangani senarai kehadiran dan bersedia untuk menjalani peperiksaan praktikal.

 

9.0 Menyelaras Perjalanan Peperiksaan Dan Permarkahan

9.1 TPL/KPPL/Pengajar Subjek hendaklah berbincang dengan para pemeriksa untuk menyelaraskan perjalanan peperiksaan dan permarkahan untuk mendapatkan keseragaman dalam pemberian markah dan mengurangkan bias.

 

10.0 Penyerahan Format Pemarkahan Dan Borang-Borang Berkaitan

10.1 Setelah melengkapkan dan mengira jumlah markah yang diperolehi setiap calon, para pemeriksa hendaklah menghantar format permarkahan tersebut bersama-sama dengan borang laporan pemeriksa, akuan sumpah dan borang tuntutan sekiranya berkaitan kepada SUP untuk tindakan seterusnya.

10.1.1 Begitu juga dengan penjaga masa yang hendaklah menghantar borang pengambilan masa yang telah dilengkapkan bersama-sama dengan senarai kehadiran calon kepada SUP untuk tindakan seterusnya.

 

11.0 Penerimaan Format Permarkahan Dan Borang-Borang Berkaitan

11.1 SUP hendaklah menerima format permarkahan peperiksaan praktikal dan borang-borang yang berkaitan sebaik sahaja para pemeriksa dan penjaga masa melengkapkan format-format dan borang-borang tersebut.

11.1.1 Format permarkahan dan borang pengambilan masa hendaklah disimpan di dalam peti besi/almari/kabinet yang berkunci dibilik kebal sehingga sesi kemasukan markah dan analisis dilaksanakan.

11.1.2 Borang- borang seperti laporan pemeriksa, akuan sumpah dan borang tuntutan sekiranya berkaitan hendaklah diserahkan kepada Ketua Pemeriksa untuk tindakan seterusnya.

 

12.0 Peperiksaan Ulangan

12.1 Semua tanggungjawab dan tindakan/proses kerja adalah diulangi bagi pengendalian peperiksaan ulangan kepada calon-calon yang gagal.

 

C. PENILAIAN PRAKTIKAL (TEKNOLOGI PERGIGIAN)

1.0 Penyediaan Penilaian Sumatif Praktikal

1.1 Setelah merujuk takwim peperiksaan, Ketua Penolong Pengarah (Latihan) (KPPL) hendaklah berbincang dengan Ketua Program untuk melantik Pengawas Peperiksaan Praktikal I & II untuk melaksanakan peperiksaan praktikal.

1.1.1 KPPL hendaklah mengemukakan cadangan Pengawas Peperiksaan Praktikal I & II kepada TPL untuk tujuan lantikan.

1.1.2 Setelah mengenalpasti pegawai-pegawai yang terlibat, KPPL hendaklah menyediakan pelantikan Pengawas Peperiksaan Praktikal I & II.

 

1.2 Bagi pengawasan peperiksaan praktikal 1, Pengawas Peperiksaan Praktikal 1 (PPP1) hendaklah memastikan calon-calon membuat pemasangan model ke artikulator dalam masa yang ditetapkan.

1.2.1 Pada masa yang sama, PPP1 hendaklah menyediakan model-model lain yang diarahkan oleh Setiausaha Peperiksaan (SUP) bagi keperluan peperiksaan sumatif mengikut jumlah calon.

1.2.2 Model-model yang disiapkan hendaklah di label dan ditulis nombor matriks calon.

1.2.3 Setelah siap pelabelan, model-model tersebut hendaklah diletakkan di dalam tray dan disimpan di dalam pigeon hole yang disediakan di bilik penyediaan peperiksaan praktikal 1 yang berkunci.

1.2.4 Setelah selesai, PPP1 hendaklah menyerahkan model-model tersebut kepada Pengawas Peperiksaan Praktikal 2 (PPP2).

1.2.4.1 Setelah menerima dan menyemak model-model tersebut, PPP2 hendaklah menyediakan bahan-bahan keperluan untuk peperiksaan praktikal 2 (seperti gigi stok, lilin, dawai dan lain-lain).

 

1.3 Ketua Pengawas Peperiksaan Praktikal 2 hendaklah memastikan tempat dan peralatan yang diperlukan berada dalam keadaan baik dan mencukupi sehari sebelum peperiksaan praktikal.

 

2.0 Pelaksanaan Penilaian Sumatif Praktikal

2.1 KP hendaklah mengambil soalan peperiksaan praktikal 2 daripada SUP di bilik kebal 15 minit sebelum peperiksaan bermula.

2.1.1 KP hendaklah membuka bungkusan soalan di hadapan calon dan mengedarkannya kepada calon.

2.1.2 Sebelum memulakan peperiksaan, KP hendaklah memberi taklimat kepada calon mengenai arahan soalan dan peraturan peperiksaan.

2.1.3 Diakhir hari peperiksaan, KP hendaklah mengarahkan semua calon menghantar hasil kerja ke bilik pemeriksaan praktikal 2 untuk diperiksa oleh pemeriksa yang dilantik.

 

3.0 Pemeriksaan Penilaian Sumatif Praktikal

3.1 Sebelum memulakan pemeriksaan, Pemeriksa yang dilantik hendaklah menandatangani borang akuan sumpah sebagai pemeriksa dengan disaksikan oleh Ketua Pemeriksa.

3.2 Bagi memastikan penyeragaman dalam penilaian, SUP hendaklah memberi taklimat penilaian dengan menggunakan kriteria yang disediakan.

3.3 Pemeriksa hendaklah menilai hasil kerja pelatih mengikut kriteria yang ditetapkan dan memasukkan markah ke format penilaian (grading sheet) yang disediakan oleh SUP.

3.4 Setelah selesai pemeriksaan, pemeriksa hendaklah menyerahkan grading sheet yang telah siap kepada SUP untuk di buat tabulasi.

 

 

D. PENILAIAN OSPE/OSCE (Objective Structured Practical/Clinical Examination) KEJURURAWATAN PERGIGIAN

1.0 Lantikan Pegawai Penyediaan Sumber, Pengawai Pengawas, Pemeriksa, Pembantu dan Penjaga Masa

1.1 Setelah merujuk takwim peperiksaan dan tarikh peperiksaan OSPE, KPPL hendaklah berbincang dengan KP untuk melantik Pegawai Penyediaan Sumber, Pengawas, Pemeriksa, Pembantu dan Penjaga Masa untuk melaksanakan peperiksaan OSPE.

1.1.1 KPPL hendaklah mengemukakan cadangan Pegawai Penyediaan Sumber Pengawas, Pemeriksa, Pembantu dan Penjaga Masa kepada TPL untuk tujuan lantikan.Setelah menerima lantikan pegawai-pegawai yang terlibat, KPPL hendaklah menyediakan jadual lantikan nama-nama pegawai tersebut berserta tugas yang telah ditetapkan dan mengedarkannya kepada mereka yang berkaitan 1 bulan sebelum tarikh peperiksaan.

1.1.2 Satu salinan hendaklah diberi kepada SUP untuk membuat persediaan peperiksaan OSPE mengikut jadual yang telah ditetapkan.

 

2.0 Menyediakan Senarai Nama Calon Mengikut Kumpulan Dan jadual Masa Peperiksaan

2.1 Pengajar Penyelaras (PP) hendaklah berbincang dengan SUP untuk menentukan bilangan kumpulan yang perlu disediakan berdasarkan bilangan calon dan bilangan stesen dalam peperiksaan tersebut.

2.2 Setelah membahagikan bilangan calon mengikut kumpulan, PP hendaklah menyediakan jadual masa untuk setiap kumpulan menduduki peperiksaan dengan mengambilkira masa yang diambil untuk melaksanakan setiap pusingan peperiksaan.

2.2.1 Setelah jadual peperiksaan berserta senarai nama calon setiap kumpulan disediakan, PP hendaklah memaklumkan kepada semua calon berkenaan dengan kumpulan dan jadual masa yang ditetapkan dan mereka dikehendaki menandatangani jadual tersebut untuk memastikan mereka dimaklumi dan bersedia untuk menduduki peperiksaan.

2.2.2 Senarai nama yang telah ditandatangani hendaklah diserahkan kepada SUP untuk tindakan seterusnya.

 

3.0 Penyediaan Soalan OSPE

3.1 SUP hendaklah berbincang dengan KPP (Lat) untuk memilih soalan peperiksaan.

3.2 Setelah berbincang dengan KPP(Lat) SUP hendaklah menyediakan soalan peperiksaan berserta arahan dan borang penilaian (senarai semak) bagi stesen kemahiran dan borang jawapan bagi stesen pengetahuan dan dicetak mengikut bilangan calon.

3.2.1 Borang-borang soalan yang telah dicetak hendaklah dibungkus, di’seal’ dan disimpan di bilik kebal sehingga hari peperiksaan.

 

4.0 Penyediaan Sumber

4.1 SUP bersama-sama dengan pegawai yang dilantik hendaklah menyediakan sumber-sumber dan peralatan-peralatan yang perlu dan berkaitan dalam jangkamasa yang ditetapkan dan disimpan di bilik kebal sehingga tarikh tempat peperiksaan disediakan.

 

5.0 Taklimat Peperiksaan Kepada Calon Dan Melaksanakan Trial Run

5.1 SUP hendaklah memberi taklimat berkenaan perjalanan peperiksaan OSPE dengan menunjukkan pelan lokasi bilik peperiksaan dan cara pergerakan semasa peperiksaan dilaksanakan serta arahan-arahan yang perlu dipatuhi supaya peperiksaan dapat berjalan lancar.

5.2 Selepas sahaja memberi taklimat, SUP, Pengawas Peperiksaan dan Penjaga masa hendaklah melaksanakan sesi trial run di mana setiap kumpulan calon diperkukuhkan berkenaan perjalanan peperiksaan dan melaksanakannya seperti yang diarah.

 

6.0 Persediaan Bilik Peperiksaan Dan Bilik Kuarantin

6.1 Selepas sahaja para calon selesai melaksanakan trial run, SUP, Pegawai sumber dan Pembantu SUP yang bertugas di Unit Peperiksaan menyediakan bilik peperiksaan OSPE mengikut prosedur yang ditetapkan serta mematuhi akta keselamatan dan menjaga kerahsiaan.

6.2 SUP hendaklah melabelkan samada A atau B pada bilik kuarantin yang telah dikenalpasti untuk menempatkan calon sebelum menduduki peperiksaan (A) dan selepas menduduki peperiksaan (B) untuk mengelakkan calon bertemu sebagai langkah mempastikan soalan tidak bocor.

6.2.1 Di bilik kuarantin A yang menempatkan calon sebelum menduduki peperiksaan ditampal dengan Jadual Masa Peperiksaan mengikut kumpulan dan pelan pergerakan peperiksaan OSPE.

 

7.0 Melaksanakan Peperiksaan

7.1 Pada hari peperiksaan, semua calon sesi pagi hendaklah berkumpul di bilik kuarantin A jam 8.00 pagi dan menandatangani borang kehadiran manakala bagi calon sesi petang hendaklah berkumpul di bilik kuarantin A jam 12.00 tengahari dan menandatangani borang kehadiran.

7.1.1 Pegawai yang menjaga bilik kuarantin memastikan calon mengikut arahan dan menandatangani borang kehadiran.

 

7.2 SUP hendaklah menyerahkan bungkusan mengandungi borang sumpah, laporan pemeriksa, borang penilaian dan greding sheet kepada Pemeriksa stesen kemahiran pada hari peperiksaan dan meletakkan borang jawapan pada stesen pengetahuan.

7.2.1 Para Pemeriksa yang sama stesen hendaklah berbincang untuk penyeragaman penilaian sebelum peperiksaan dimulakan.

7.3 Pengawai yang menjaga bilik kuarantin A hendaklah memastikan calon telah bersedia untuk menduduki peperiksaan mengikut masa yang ditetapkan.

7.3.1 Setelah selesai menjalani peperiksaan, calon hendaklah dikumpulkan di bilik kuarantin B dan pegawai yang menjaga hendaklah memastikan calon berada di bilik tersebut sehingga dibenarkan pulang.

 

8.0 Penyerahan Dan Penerimaan Format Pemarkahan Dan Borang-Borang Berkaitan

8.1 Bagi stesen kemahiran, setelah melengkapkan dan mengira jumlah markah yang diperolehi setiap calon, dan memasukkannya ke dalam greding sheet, para pemeriksa hendaklah menghantar borang-borang tersebut bersama-sama dengan borang laporan pemeriksa, akuan sumpah dan borang penilaian kepada SUP untuk tindakan seterusnya.

8.1.1 Bagi stesen pengetahuan, SUP hendaklah mengumpul borang borang jawapan dan membungkus mengikut stesen serta diseal dan disimpan di bilik kebal untuk diagihkan dalam pemeriksaan berpusat.

8.2 SUP hendaklah menerima borang penilaian peperiksaan OSPE dan borang-borang yang berkaitan sebaik sahaja para pemeriksa melengkapkan borang-borang tersebut.

8.3 SUP hendaklah memasukkan markah yang diperolehi ke dalam skema markah yang berkaitan.

8.3.1 Borang- borang seperti laporan pemeriksa dan akuan sumpah hendaklah diserahkan kepada Ketua Pemeriksa untuk tindakan seterusnya.

 

9.0 Penyediaan Laporan Pemeriksaan

9.1 Pada masa yang sama, KP hendaklah menyediakan laporan peperiksaan/laporan pengawasan dan serahkan kepada SUP pada hari tersebut.

9.1.1 Sekiranya berlaku pelanggaran peraturan peperiksaan, KP hendaklah maklumkannya kepada SUP/TPL. Sebarang tindakan seterusnya hendaklah berpandukan kepada Garispanduan Pengurusan Tindakan Tatakelakuan -Rujuk BPL.KKM.PK(P): 03 oleh Bahagian Pengurusan Latihan, KKM.

 

10.0 Peperiksaan Ulangan

10.1 Semua tanggungjawab dan tindakan/proses kerja adalah diulangi bagi pengendalian peperiksaan ulangan kepada calon-calon yang gagal.

 

E. PENILAIAN OSPE/OSCE (Objective Structured Practical/Clinical Examination) TEKNOLOGI PERGIGIAN

1.0 Membuat Persediaan Sebelum Penilaian

1.1 KPPL hendaklah merujuk kepada takwim peperiksaan dan berbincang dengan Ketua Program mencadangkan pegawai/pengajar untuk perlantikan sebagai Pengawas dan Pemeriksa.

1.2 KPPL hendaklah mengemukakan cadangan perlantikan Pengawas dan Pemeriksa kepada TPL untuk tujuan lantikan.

1.3 Setelah dipersetujui, KPPL hendaklah menyediakan surat lantikan dan mengedarkannya kepada semua pegawai yang terlibat dan satu salinan diserahkan kepada SUP untuk tindakan seterusnya.

1.4 Apabila surat perlantikan diterima, SUP hendaklah mengenalpasti tempat dan kemudahan prasarana yang mencukupi bagi tujuan peperiksaan OSPE/OSCE.

1.4.1 SUP hendaklah menyediakan soalan, senarai semak dan arahan kepada calon untuk peperiksaan OSPE/OSCE.

1.4.2 Apabila soalan disiapkan, SUP hendaklah berbincang dengan Pengajar Yang Dilantik (PYD) bagi menentukan pelan stesen OSPE/OSCE berdasarkan kepada soalan.

1.4.3 Setelah perbincangan selesai, PYD hendaklah menyiapkan pelan stesen yang telah dipersetujui dalam bentuk hard copy bagi kegunaan semasa penyusunan peralatan, sumber dan arahan-arahan yang berkaitan selewat-lewatnya 1 hari sebelum tarikh peperiksaan.

1.4.4 Pada masa yang sama, SUP hendaklah memastikan bahan dan peralatan yang diperlukan semasa peperiksaan OSPE/OSCE tersebut disiapkan dan disimpan dengan selamat di bilik penyediaan peperiksaan.

 

2.0 Melaksanakan Penilaian OSPE/OSCE

2.1 Satu hari sebelum tarikh peperiksaan, Ketua Pengawas (KP) hendaklah memberi taklimat peperiksaan dan menjalankan trial run kepada semua calon yang berkaitan.

2.1.1 Setelah semua calon selesai trial run, PYD hendaklah melekatkan arahan pada meja mengikut pelan yang disediakan dengan mematuhi akta keselamatan dan menjaga kerahsiaan.

2.2 Pada pagi hari sebelum peperiksaan dimulakan, Penjaga Kuarantin (PK) hendaklah memastikan semua calon berada di bilik kuarantin.

2.2.1 KP hendaklah menentukan giliran kumpulan dan memberi nombor stesen kepada setiap calon sebelum calon memasuki bilik peperiksaan.

2.3 Setelah semua calon dikuarantin, KP dan PYD hendaklah mengambil peralatan dan bahan daripada SUP di bilik penyediaan peperiksaan dan dibawa ke bilik peperiksaan OSPE/OSCE.

2.4 Semua peralatan dan bahan tersebut hendaklah disusun mengikut arahan soalan pada setiap stesen dengan betul mengikut pelan yang ditetapkan sebelum peperiksaan bermula.

2.5 Apabila selesai disusun, KP hendaklah menyemak peralatan, bahan dan kedudukan stesen yang betul dengan menggunakan senarai semak yang disediakan berdasarkan kepada pelan stesen.

2.6 Jika sekiranya KP berpuas hati dengan persediaan yang dibuat, KP hendaklah memberi taklimat kepada pemeriksa tentang perjalanan dan senarai semak yang akan digunakan semasa peperiksaan dijalankan.

2.7 Apabila semua pemeriksa telah bersedia, KP hendaklah mengarahkan calon yang berkaitan masuk ke bilik peperiksaan dan mendapatkan stesen mengikut nombor yang diberikan.

2.8 Calon-calon lain yang menunggu giliran hendaklah berada di bilik kuarantin sehinggalah semua calon selesai menduduki peperiksaan tersebut.

 

3.0 Pengurusan Selepas Penilaian

3.1 Setelah semua calon menduduki peperiksaan, Pemeriksa hendaklah membuat pengiraan markah dan memasukkan markah ke dalam format yang ditetapkan.

3.1.1 Semua markah yang telah siap diisi hendaklah diserahkan kepada SUP selewat-lewatnya pada hari berikutnya.

3.1.2 Bagi stesen pengetahuan, KP hendaklah mengumpulkan kertas jawapan dan diserahkan kepada SUP untuk disimpan dalam bilik kebal sementara menunggu tarikh pemeriksaan berpusat.

3.2 Sebaik sahaja peperiksaan selesai, KP dan PYD hendaklah mengumpul dan menyimpan kembali peralatan dan bahan ke bilik penyediaan peperiksaan.

3.3 Pada masa yang sama, KP hendaklah menyediakan laporan peperiksaan/laporan pengawasan dan serahkan kepada SUP pada hari tersebut.

3.3.1 Sekiranya berlaku pelanggaran peraturan peperiksaan, KP hendaklah maklumkannya kepada SUP/TPL.

3.3.1.1 Sebarang tindakan seterusnya hendaklah berpandukan kepada Garispanduan Pengurusan Tindakan Tatakelakuan -Rujuk BPL.KKM.PK(P): 03 oleh Bahagian Pengurusan Latihan, KKM.

 

Disediakan oleh 1: Pn. Zaleha binti Hashim; t/t:

Disediakan oleh 2: En.Yee Khee Sin; t/t:

Disemak oleh 1 : Dr. Naziah binti Ahmad Azli; t/t:

Disemak Oleh 2: Dr. Ahmad Termizi Zamzuri; t/t:

Diluluskan oleh: Dr. Hasenah binti Mod. Zaki, Pengarah; t/t:

 

REKOD KUALITI

 

Arahan Kerja / Borang Kualiti / Senarai Semak

  Arahan Kerja   
  Tiada
  Borang Kualiti   
  Tiada
  Senarai Semak   
  Tiada
  Dokumen Luaran   
  Tiada
  Pemilik Dokumen
  Zaleha Hashim
Yee Khee Sin
 

Rekod Pindaan

No. Tarikh Pindaan No. Pindaan Rujukan Pindaan/Para Diluluskan Oleh
 
Laman Utama Manual Kualiti Prosedur Kualiti